Ahad, 29 Mac 2009

LIRIK LAGU HERO WAYANG!



Saerah Feat. Damien, Cham, Shah (VE) & Dali Ahli Fiqir - Hero Wayang

Malam memang sepi
Apa guna menangis
Barang sudah jadi
Apa guna menangis

Esok ada lagi
Apa guna menangis
Nasib tukar ganti
Apa guna menangis

Ramai yang tahu
Ramai yang faham
Tapi tak ramai sanggup mengerti

Ramai yang tunjuk
Ramai yang ajar
Tapi tak ramai yang mendengar

Ramai yang datang
Ramai yang pesan
Tapi tak ramai yang sanggup membantu
Akhirnya tinggal
Kita sendiri

Malam bawa pagi
Apa guna menangis
Kasih datang pergi
Apa guna menangis

Esok ada hari
Apa guna menangis
Boleh jumpa lagi
Apa guna (kau) menangis

Ramai yang tahu
Ramai yang faham
Tapi tak ramai sanggup mengerti

Saerah Bukan Lagi Ilusi


Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my



Impian yang dipendam sejak sekian lama makin meresahkan tuan empunya diri. Pelbagai cara dilakukan demi memastikan minat yang dipendam dalam diri mampu direalisasikan.

Meskipun mungkin ramai yang akan menuding jari dan memperkatakan si gadis berusia 25 tahun ini sekadar menumpang populariti si kakak, namun stigma itu tidak mampu untuk ditolak tepi.

Sambil tersenyum, kini Siti Saerah Tarudin atau lebih mesra dengan panggilan Saerah semakin yakin dengan langkahnya dalam menyelusuri kehidupan sebagai anak seni.

Setelah sekian lama, akhirnya single pertama yang juga menguji keupayaan dirinya telah pun mula diputarkan di corong-corong radio.

“Gembira! Akhirnya apa yang saya impikan terlaksana. Inilah yang saya inginkan dan akhirnya buah tangan pertama saya dapat dihasilkan,” katanya dalam satu pertemuan bersama Hits baru-baru ini.

Hero Wayang, itulah judul single pertamanya malah menerusi lagu itu dia berkolaborasi bersama Dale (Ahli Fiqir).

Memilih genre rock sebagai nadi utama buah tangan sulungnya, Saerah bersyukur dan berbangga niatnya untuk merakamkan hasil nukilan, pencipta lirik tersohor Allahyarham Loloq, juga tercapai.

“Saya bersyukur kerana sempat merakamkan lagu itu sebab saya antara penggemar lirik-lirik ciptaan arwah,” katanya melafazkan rasa hormat terhadap penulis lirik tersohor negara itu.

Hero Wayang kata Saerah, mengisahkan kepayahan dan kesukaran yang dialami oleh anak seni dalam perjalanannya menyelusuri liku-liku kehidupannya.

Meskipun teruja dan berdebar menantikan reaksi khalayak terhadap Hero Wayang, namun langkah Saerah tidak terhenti di situ sahaja.

Terbaru dia baru sahaja selesai merakamkan single keduanya berjudul Akhir Cinta.

Menyambung perbualan terang Saerah, jika tiada aral melintang besar kemungkinan dia akan muncul dengan album duet bersama kakaknya Siti Saida.

Mengerti akan kata-kata di belakang yang bakal diterimanya kelak dari insan-insan yang kurang menyenangi dirinya, Saerah tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut.

Jelas gadis berbintang Taurus ini, dia percaya khalayak tempatan kini semakin bijak untuk menilai hasil kerja seseorang.

“Mungkin ramai yang akan kata macam-macam mengenai diri saya dan single pertama saya ini. Tapi saya yakin masyarakat sekarang semakin bijak untuk menilai dahulu dari terus berkata-kata yang kurang membina.

“Saya sudah bagi yang terbaik jadi saya mengharapkan agar mereka dapat menerima buah tangan saya ini seadanya,” kata artis yang bernaung di bawah label Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP).

Akui Saerah, dia sama sekali tidak mahu menumpang populariti kakaknya, Datuk Siti Nurhaliza.

“Saya mahu berdiri di atas kaki sendiri sebab itu pelbagai pertandingan nyanyian saya cuba masuk. Saya nak orang dapat menilai bakat dan usaha yang saya sendiri lakukan.

“Tapi jika ada juga yang mahu bercakap mengenai perkara itu saya tak mampu nak menutup mulut orang sebab memang itu hakikatnya. Dah dia kakak saya dan kami mempunyai minat yang serupa jadi nak cakap macam mana lagi. Tapi saya harap berilah saya peluang untuk membuktikan bakat saya juga,” jelasnya.

Utusan Malaysia

Bukan Wayang Saerah


Oleh MALIAH SURIP
maliah.surip@kosmo.com.my




SENYUMNYA manis, mekar dan nampak segar. Sesekali memandangnya, saling tak tumpah seperti kakaknya, Siti Nurhaliza.

“Dah darah daging. Saya tak boleh lari,” begitu luah gadis yang baru menginjak usia 25 tahun dengan matang sambil tersenyum.

Dia, Siti Saerah Tarudin pagi itu duduk didandan rapi khusus untuk fotografi kami. Saerah muncul dengan single perdananya berjudul Hero Wayang.

Sebenarnya siapa yang tidak kenal Saerah. Dia juga mempunyai profil kerjaya yang tersendiri. Sejak dahulu, semua orang juga tahu Saerah memang berkeinginan menjadi seorang penyanyi.

Lantas kelibatnya pernah dilihat dalam pertandingan realiti televisyen One In A Million (OIAM) tidak lama dulu. Namun dia terkandas separuh jalan.

Sesekali dia juga menghias pentas dengan vokal dan persembahannya yang tersendiri. Tapi ini cerita tiga tahun lalu. Cerita tentang kepayahan membina perisai kerjaya sendiri.

Hari ini, Saerah sudah boleh tersenyum. Impiannya menjadi seorang penyanyi yang sebenar telah terlaksana. Single perdana dengan nama Hero Wayang telah mula mencuri perhatian. Semuanya dilakukan sendiri, tanpa menumpang populariti si kakak, kecuali menjadi artis di bawah label Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP).

“Alhamdulillah, tiga tahun saya tunggu saat untuk mempunyai lagu sendiri. Hari ini, Hero Wayang merupakan anak pertama saya. Dan saya harap langkah baru ini tidak terhenti separuh jalan,” ujar Saerah penuh harapan.

Dihasilkan sendiri atas bantuan tenaga profesional dengan lirik tersebut dihasilkan oleh bekas penulis lirik terbaik negara, arwah Loloq, Hero Wayang kata Saerah mengisahkan tentang perjalanan penuh liku anak seni. Namun ia dihasilkan dalam jalur moderate.

“Jiwa saya lebih rock, malah jalur pop pun disadurkan dengan rock, bukan balada. Jadi saya kira orang senang untuk membezakan saya dengan Kak Siti,” katanya.

Dia menambah: “Saya kira jika buah tangan saya bagus, peminat pun tak pertikai saya ialah adik Siti. Sebaliknya saya adalah Saerah yang berdiri atas kaki sendiri.”

Banyak agenda yang telah dirangka SNP untuk Saerah. Serius dan optimis dia memberitahu bakal muncul secara duo bersama kakaknya, Siti Saida.

Mereka akan bergabung dalam sebuah album yang menyaksikan mereka menyanyi secara solo dan berduet. Satu kolaborasi adik-beradik yang mahu dijadikan label masa depan.

Seiring single yang sedang diputarkan di radio, penampilan Saerah kini juga sudah banyak berubah - lebih matang dalam berbicara dan satu hal yang paling ketara berubah ialah berat badannya.

Tak segan dia memberitahu, sudah lebih empat bulan selera makannya hilang terutama pada nasi. Sehingga kini, berat yang dahulu 77 kilogram sudah mencecah 55 kilogram.

“Makan hati,” ringkas dia menjawab dalam senyuman tawar dan mengaku pula: “Sejak putus tunang dulu, selera makan jatuh terus. Jadi sekarang macam sudah terbiasa tak makan. Saya lebih banyak minum air dan makan roti sahaja.”

Cuba menggali lebih dalam perihal sebenar dia putus tunang dengan jejaka seusianya itu, Saerah menepis dengan tenang. Enggan merobek hati sesiapa katanya.

Cukup dia menekankan, perpisahannya dengan lelaki yang kini masih menjadi temannya itu sebagai satu rahsia yang kekal dalam hidupnya.

28-Mar-2009 | Oleh: Murai Batu
Sah, Imran Bersatu Dengan Saerah!

KL, 28 MAC 2009: Sebelum ini timbul khabar angin tentang hubungan adik Dato' Siti Nurhaliza, Siti Saerah atau Saerah dengan penyanyi lagu Seribu Tahun, Imran Ajmain.


Malah, gara-gara gosip ini, Murai Batu difahamkan media Singapura telah mengeluarkan berita mengenai ayah Imran yang merestui sekiranya mereka berdua mahu berkahwin. Hai, orang tua Imran dah kasi greenlight nampaknya... mak Saerah juga dah setuju ke?


Jangan marah, Murai Batu sekdar usik-usik saja. Tapi Murai Batu difahamkan, semua cerita gosip tentang Imran dan Saerah bermula apabila mereka berdua menghadiri sebuah majlis anugerah, baru-baru ini. Waktu itu, ada orang kuat dari stesen radio ada terserempak Saerah pegang erat tangan Imran. Jeng Jeng Jeng...


Dari situlah, kecohnya orang bergosip Imran bercinta dengan Saerah. Pun begitu, cerita ini tidak berhenti di situ saja kerana Murai Batu dengar cerita Saerah semakin rapat dengan Imran selepas Saerah kehilangan arwah ayahnya, Pak Taruddin.


Khabarnya, Saerah yang sedang popular dengan lagu Hero Wayang, sering berjumpa Imran dan meminta pendapat tentang dunia muzik. Kemuncaknya, mereka telah bersatu dalam sebuah lagu. Dan lagu yang dimaksudkan itu adalah lagu Jika Engkau Pergi. Amboi judul pun macam ada makna saja.


Cuma apa yang Murai Batu nak pesan, kalau nak berkawan atau bercinta pun, jagalah nama baik keluarga. Kalau dah bercinta, jangan cuba dolak-dalih sebab nanti peminat dan wartawan akan terasa sengal.