Ahad, 29 Mac 2009
Saerah Bukan Lagi Ilusi
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my
Impian yang dipendam sejak sekian lama makin meresahkan tuan empunya diri. Pelbagai cara dilakukan demi memastikan minat yang dipendam dalam diri mampu direalisasikan.
Meskipun mungkin ramai yang akan menuding jari dan memperkatakan si gadis berusia 25 tahun ini sekadar menumpang populariti si kakak, namun stigma itu tidak mampu untuk ditolak tepi.
Sambil tersenyum, kini Siti Saerah Tarudin atau lebih mesra dengan panggilan Saerah semakin yakin dengan langkahnya dalam menyelusuri kehidupan sebagai anak seni.
Setelah sekian lama, akhirnya single pertama yang juga menguji keupayaan dirinya telah pun mula diputarkan di corong-corong radio.
“Gembira! Akhirnya apa yang saya impikan terlaksana. Inilah yang saya inginkan dan akhirnya buah tangan pertama saya dapat dihasilkan,” katanya dalam satu pertemuan bersama Hits baru-baru ini.
Hero Wayang, itulah judul single pertamanya malah menerusi lagu itu dia berkolaborasi bersama Dale (Ahli Fiqir).
Memilih genre rock sebagai nadi utama buah tangan sulungnya, Saerah bersyukur dan berbangga niatnya untuk merakamkan hasil nukilan, pencipta lirik tersohor Allahyarham Loloq, juga tercapai.
“Saya bersyukur kerana sempat merakamkan lagu itu sebab saya antara penggemar lirik-lirik ciptaan arwah,” katanya melafazkan rasa hormat terhadap penulis lirik tersohor negara itu.
Hero Wayang kata Saerah, mengisahkan kepayahan dan kesukaran yang dialami oleh anak seni dalam perjalanannya menyelusuri liku-liku kehidupannya.
Meskipun teruja dan berdebar menantikan reaksi khalayak terhadap Hero Wayang, namun langkah Saerah tidak terhenti di situ sahaja.
Terbaru dia baru sahaja selesai merakamkan single keduanya berjudul Akhir Cinta.
Menyambung perbualan terang Saerah, jika tiada aral melintang besar kemungkinan dia akan muncul dengan album duet bersama kakaknya Siti Saida.
Mengerti akan kata-kata di belakang yang bakal diterimanya kelak dari insan-insan yang kurang menyenangi dirinya, Saerah tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut.
Jelas gadis berbintang Taurus ini, dia percaya khalayak tempatan kini semakin bijak untuk menilai hasil kerja seseorang.
“Mungkin ramai yang akan kata macam-macam mengenai diri saya dan single pertama saya ini. Tapi saya yakin masyarakat sekarang semakin bijak untuk menilai dahulu dari terus berkata-kata yang kurang membina.
“Saya sudah bagi yang terbaik jadi saya mengharapkan agar mereka dapat menerima buah tangan saya ini seadanya,” kata artis yang bernaung di bawah label Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP).
Akui Saerah, dia sama sekali tidak mahu menumpang populariti kakaknya, Datuk Siti Nurhaliza.
“Saya mahu berdiri di atas kaki sendiri sebab itu pelbagai pertandingan nyanyian saya cuba masuk. Saya nak orang dapat menilai bakat dan usaha yang saya sendiri lakukan.
“Tapi jika ada juga yang mahu bercakap mengenai perkara itu saya tak mampu nak menutup mulut orang sebab memang itu hakikatnya. Dah dia kakak saya dan kami mempunyai minat yang serupa jadi nak cakap macam mana lagi. Tapi saya harap berilah saya peluang untuk membuktikan bakat saya juga,” jelasnya.
Utusan Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan